Koleksi Setem | Hidupan & Tumbuhan Dasar Laut dari POS Malaysia

Tema Hidupan dan Tumbuhan di Dasar Laut
Pos Malaysia akan mengeluarkan setem dan produk filateli keluaran istimewa bertemakan ‘Hidupan dan Tumbuhan di Dasar Laut’ bermula 21 Mac ini.
Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia Yasmin Ramli berkata setem akan memaparkan empat hidupan laut iaitu ‘leopard moray eel’, mandarinfish’, ‘bintang laut biru’ dan ‘red-spotted coral crab’, manakala lembaran mini pula memaparkan ‘kuda laut berduri’, ‘robust ghostpipefish’ dan ‘penyu laut hijau’.
“Ini koleksi terhad dan tidak akan diulang cetak,” katanya pada sidang media, di sini, Jumaat.
Setiap setem dijual pada harga 60 sen, manakala lembaran mini pula berharga RM5, katanya.
“Selain itu, ini merupakan kali pertama lembaran mini dicetak menggunakan dakwat ‘iridescent’ yang selalunya digunakan untuk mencetak matawang dan dakwat ini menaikkan lagi nilai setem pada lembaran mini itu,” katanya.
Beliau berkata orang ramai boleh membeli setem dan Sampul Surat Hari Pertama yang berharga 50 sen di semua pejabat pos, manakala koleksi dalam bentuk Folder yang berharga RM5.50 pula hanya boleh didapati di cawangan terpilih.
“Pengumpul setem digalakkan untuk mendaftar sebagai Pesanan Akaun Tetap (SODA) untuk mendapatkan setem dan produk filateli yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia tanpa perlu beratur di kaunter pos semasa hari keluaran,”katanya.
Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh layari laman sesawang Pos Malaysia di www.pos.com.my atau hubungi 0322741122/6830, katanya. – BERNAMA

One Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge