Pada asasnya, amalan berpuasa sama sekali tidak akan mengganggu pengeluaran susu ibu. Ia tidak bergantung kepada amalan pemakanan seharian.
Tiada persediaan khas yang perlu anda lakukan dalam memastikan bekalan susu ibu kekal sepanjang menjalani ibadah puasa. Apa yang penting ialah anda perlu kekal berfikiran positif, terus menanam azam jitu bagi meneruskan penyusuan sepanjang berpuasa dan pada masa yang sama memastikan diri mengamalkan pemakanan seimbang dan menyihatkan.
Perlu diingatkan agar anda tidak khuatir dengan terlalu memikirkan amalan berpuasa bakal mengganggu penghasilan susu dan menjadikannya kering. Kebimbangan melampau akan menimbulkan perasaan tertekan yang akhirnya mendorong kemerosotan bekalan susu ibu.
Pengeluaran susu ibu yang berkurangan bukan disebabkan oleh ibadah puasa! Sebaliknya tekanan yang anda alami itu menghalang refleks pengeluaran susu (let down). Cara terbaik mengatasinya mudah sahaja iaitu anda perlu sentiasa bertenang dan tidak terlalu memikirkan hal ini. Berikut adalah panduan pemakanan untuk ibu yang menyusu sepanjang bulan puasa ini. Semoga perkongsian ini dapat menjaga ibadah puasa ibu-ibu di samping dapat menyusukan bayi dengan jayanya Insyaallah.
Panduan Pemakanan
1. Minum Air Mencukupi
Anda perlu minum air yang mencukupi ketika sahur dan berbuka bagi mengelakkan dehidrasi yang bakal menjejaskan penghasilan susu. Seelok-eloknya minum dua liter atau bersamaan dengan lapan gelas air sehari.
2. Jangan Abai Sahur
Usah sesekali meninggalkan waktu bersahur. Namun, anda digalakkan untuk melambatkan makan sahur. Makanlah makanan yang kaya dengan protein dan apa sahaja makanan berbentuk sup. Dalam pada itu, anda perlu kurangkan pengambilan makanan bergoreng dan berminyak kerana ia boleh mengurangkan nutrisi makanan yang diambil.
3. Makan Kurma Ketika Berbuka
Berbukalah dengan memakan kurma terlebih dahulu sekurang-kurangnya tiga biji.
Amalan sebegini dapat membekalkan tenaga segera selepas berpuasa sepanjang hari.
4. Banyakkan Buah Dan Sayur
Makanlah buah dan sayur yang ternyata mengandungi banyak khasiat yang bukan sahaja baik untuk tahap kesihatan anda malah bagus untuk bayi juga.
5. Ambil Lebih Lemak Sihat
Jumlah lemak di dalam susu ibu berkurangan apabila anda berpuasa. Untuk itu, anda perlu mengambil makanan yang mengandungi lemak sihat mencukupi. Ini dapat dilakukan dengan mengambil susu dan produk tenusu seperti keju, susu dan sebagainya.
6. Amalkan Madu
Anda sangat digalakkan untuk memakan madu setiap hari sepanjang berpuasa kerana ia merupakan sumber tenaga semula jadi. Selain daripada menambah stamina, ia mampu meningkatkan kadar serapan kalsium dalam tubuh.
7. Elakkan Minuman Bikarbonat
Anda sememangnya digalakkan untuk minum banyak air ketika berpuasa tetapi hindari pengambilan minuman yang mengandungi banyak gula seperti air bikarbonat. Sama juga halnya dengan minuman berkafein. Ketahuilah bahawa kandungan gula dan kafein boleh mengganggu penghasilan susu ibu jika diambil berlebihan.
aah infoo sgt2 berguna buat ibu2 mengandung 😉