Ibadat puasa enam mempunyai pelbagai ganjaran dan kelebihan yang boleh diperolehi umat Islam jika mereka merebut peluang melaksanakannya.
Daripada Abu Ayub al-Ansari, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada Syawal, maka puasanya itu seperti puasa sepanjang masa.” – (Riwayat Muslim)
Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berpuasa semata-mata mencari keredhaan Allah SWT., nescaya akan Allah menjauhkannya daripada api neraka sejauh tujuh puluh tahun.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Di antara manfaat lain Puasa Enam Syawal adalah:
1) Sebagai penampal terhadap segala kekurangan amalan puasa di bulan Ramadhan.
2) Semua amalan mendekatkan diri kepada Allah SWT. pada Ramadhan, tidak akan terputus dengan berlalunya bulan mulia itu, selama dia masih hidup.
3) Mudah berpuasa selepas Ramadhan menandakan diterimanya puasa Ramadhan kerana melakukan kebaikan kemudian diteruskan dengan kebaikan lain, maka ianya sebagai tanda terkabulnya amal pertama.
4) Allah SWT menjauhkan orang yang berpuasa enam daripada api neraka dengan jarak tujuh puluh tahun.
5) Puasa selepas Aidilfitri adalah antara tanda kesyukuran atas nikmat pertolongan dan keampunan yang dianugerahkan Allah ketika Ramadhan.
CARA PUASA ENAM
Puasa sunat enam itu boleh dilakukan pada mana-mana hari, di sepanjang bulan Syawal sama ada secara berterusan atau berselang-seli:
1. Paling afdal ialah puasa enam hari berturut-turut mulai Aidilfitri kedua (2 Syawal) hingga 7 Syawal.
2. Berpuasa secara berselang-seli, iaitu puasa sama ada selang sehari, dua atau tiga hari sekali, sebanyak enam hari dalam bulan Syawal, mengikut kemampuan masing-masing.
Leave a Reply