Menu berbuka puasa dan bersahur untuk 30 hari

Menu berbuka puasa dan bersahur untuk 30 hari.

Kebiasaannya bulan Ramadhan ni target semua orang adalah untuk banyakkan ibadah dan aim untuk habiskan 30 juzuk AlQuran. Beruntung kalau kita dapat luangkan masa untuk ibadah ni sebab pahalanya masya Allah memang banyak dan berganda.

Bila sebut bulan puasa, semua mak-mak terus terbayang apa menu nak masak untuk bersahur dan berbuka puasa. Macam saya anak 5 orang, campur kami laki bini dah 7 orang, memang berbaloi masak sendiri lauk ni dari beli kat bazar.

Kekadang peniaga dah letak minimum harga contohnya RM5 untuk sebungkus lauk dan sayur, padahal kuantitinya tak berapa banyak pun, sekali hadap tak cukup pulak.

Saya dah senaraikan menu berbuka puasa dan bersahur untuk sebulan berpuasa. Korang ingat tak pening nak fikir masak menu apa hari-hari?

Memang serius buntu, tapi dengan adanya list ni, korang adalah idea nak masak apa walau tak ikut list menu ni 100% kan. Ini kira guideline, nak ikut boleh tak ikut pun takpe, kira suka hati koranglah. Janji ada menu untuk berbuka gitteww!!

HARI PERTAMA : AYAM PANGGANG BERMADU

Menu berbuka puasa

Bahan-bahan:
– 1kg kepak ayam
– 1 senduk besar minyak bijan
– 2 senduk besar madu (kalau suka manis, tambahkan lagi)
– sedikit serbuk lada sulah (sesuka hati, siapa yang suka pedas, tambahlah lagi)
– sedikit garam secukup rasa

Cara memasak:
1. Gaulkan ayam bersama madu, minyak bijan, serbuk lada sulah & garam hingga rata.
2. Perapkan semalaman atau lebih dan siap untuk dipanggang.

HARI KEDUA : TOM YAM CAMPUR

Menu berbuka puasa dan bersahur untuk 30 hari

Bahan-bahan basah:
– ayam – 1/4 ekor (dipotong kecil)
– daging – 250 gm (dipotong kecil)
– udang – terpulang pada tukang masak

Bahan-bahan A:
– blenderkan halia
– 3 inci bawang merah
– 6 ulas cili api
– 20 biji (seeloknya yang dah masak berwarna merah)

Bahan-bahan lain:
– minyak masak – 1/5 cawan
– serai – 6 batang serai (diketuk) – lebih pun boleh
– lobak merah – 2 batang (dipotong)
– bunga kubis – 150 gram
– putik jagung – 2 bungkus
– tomato – 3 biji (potong 4)
– bawang besar – 3 biji (potong 4)
– daun limau purut – 3 atau 4 helai
– limau nipis – ambil airnya, dan ikut keperluan
– batang saleri – 2/3 batang dari sepokok (potong panjang 1/2 in) cili api – diketuk (jika rasa perlu untuk tambahkan kepedasan)
– sos ikan – dalam 1 atau 2 sudu
– air
– garam
– bahan perasa – jika berminat

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dalam periuk, dan tumiskan bahan-bahan yang dikisar (Bahan A).
2. Masukkan juga serai yang telah diketuk. Tumis sehingga pecah minyak.
3. Masukkan daging yang telah dipotong. Masak sehingga empuk. Dalam proses ini, sedikit air perlu ditambah, hanya untuk empokkan daging.
4. Bila daging telah empok, masukkan ayam. Masak lagi sehingga ayam 3/4 masak. 5.Tambahkan air hingga paras air tu 1 1/2 kali ganda dari bahan-bahan yang ada didalam periuk tu.
6. Masukkan udang jika berminat. Masak lagi hingga air mengelegak.
7. Masukkan lobak merah, putik jagung dan bunga kobis. Masukkan juga daun limau purut. Cili api yang telah diketuk (pastikan dulu tahap kepedasannya – mungkin anda telah berpuas hati).
8. Masukkan juga tomato dan bawang besar, serta batang saleri. Sos ikan dan garam serta bahan perasa jika berminat. Pastikan mengelegak dan tutupkan api.
9. Akhir sekali masukkan perahan air limau. Seimbangkan rasa masin dan masam.

HARI KETIGA : UDANG LEMAK MERAH DENGAN KACANG PANJANG

Bahan-bahan:
– 1/2 kg. udang – cuci bersih dan toskan.
– 4 tangkai cili padi merah *
– 2 tangkai cili merah *
– 5 biji bawang merah *
– 2 ulas bawang putih *
– 1 biji buah keras *
– 1 cm kunyit hidup *
– 2 batang serai – diketuk
– 2 cawan santan pekat
– 6 urat kacang panjang – dipatahkan 2 inci
– 2 keping kecil asam gelugor
– garam dan gula secukup rasa
– 3 sudu besar minyak untuk menumis

(bahan * dikisar bersama dengan sedikit air)

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dalam periuk/kaserol. Tumis bahan kisar bersama serai hingga pecah minyak. Gunakan api perlahan.
2. Kemudian masukkan udang dan gaul balik sekejap.
3. Masukkan santan pekat dan asam gelugor, biar mendidih.
4. Masukkan garam dan gula secukup rasa.
5. Akhir sekali masukkan kacang panjang dan biarkan sekejap. Jangan sampai layu. Tutup api.
6. Hidangkan bersama nasi putih.

HARI KELIMA : IKAN SIAKAP KUKUS

Bahan-bahan:
– 1 ekor ikan siakap sederhana besar
– 3 sudu besar sos tiram
– 2 susu besar sos cili
– 2 susu besar sos tomato
– 1 sudu gula
– 4cm halia – dimayang
– 3 ulas bawang putih – dimayang
– 3 ulas bawang besar – dimayang
– 3 tangkai daun sup(saderi)
– 1/2 biji limau nipis
– garam secukup rasa

Cara memasak:
1. Cuci ikan dan belah dua jangan sampai putus serta lumur garam dan gula (kurangkan jika tak suka manis).
2. Masukkan ikan dalam pinggan bujur, tabur bahan yang dimayang tadi.
3. Tuang ketiga-tiga sos tadi.
4. Kukus selama 10minit (hingga masak). tabur hirisan daun sup tadi dan perah limau diatasnya.

HARI KEENAM : UDANG MASAK SERAI WANGI

Menu berbuka puasa dan bersahur untuk 30 hari

Bahan-bahan:
– 600 gm udang harimau – digoreng setengah masak
– 4 batang serai
– 100 gm cili kering
– 100 gm bawang merah
– 100 gm cili merah
– 70 gm bawang putih
– 70 gm halia muda
– 3 sudu besar pati asam jawa
– 30 gm belacan bakar
– 100 gm pati santan
– garam dan gula secukup rasa

Cara memasak:
1. Kisar halus serai, cili kering, bawang merah, cili merah, bawang putih dan halia muda.
2. Tumis hingga wangi dan masukkan air asam jawa dan sedikit santan cair.
3. Masak atas api sederhana hingga kuah pekat
4. Masukkan pati santan dan udang.
5. Masak hingga naik bau.

HARI KETUJUH : IKAN MASAK BERLADA

menu bersahur 30 hari

Bahan-bahan:
– 3/4 ekor ikan sembilang
– 10 biji cili merah – dikisar
– 2 batang serai – dititik
– 1 ulas bawang besar – dimayang kasar
– 2 ulas bawang putih – ditumbuk
– 1 inci halia – ditumbuk
– air limau kasturi
– sedikit garam dan gula secukup rasa

Cara memasak:
1. Ikan disiang, lumurkan dengan garam dan kunyit. Goreng dan ketepikan.
2. Dengan menggunakan minyak yang sama, tumiskan bawang putih dan halia yang telah ditumbuk tadi. Bila dah berbau harum (garing) masukkan cili merah yang telah dikisar, garam dan gula, kacau dan biar sampai pecah minyak.
3. Masukkan ikan yang telah digoreng tadi dan gaul hingga sebati. Masukkan bawang besar yang dimayang kasar, kacau hingga agak layu.
4. Curahkan air perahan limau kasturi sebelum dihidangkan.

HARI KELAPAN : AYAM CILI MASAK KETUMBAR

Bahan-bahan:
– 1/2 kg ayam
– serbuk kunyit gaulkan
– sedikit garam
– 6 biji bawang kecil
– 3 ulas bawang putih ditumbuk lumat
– sedikit halia
– 4 sudu besar biji ketumbar
– 1 sudu kecil jintan manis di mesin halus
– 4 sudu besar cili mesin/cili boh
– 2 asam keping

Cara memasak:
1. Goreng ayam sehingga garing. Setelah garing bolehlah diangkat dan ketepikan.
2. Tumiskan bahan yang telah ditumbuk lumat sehingga naik bau kedalam minyak lebihan ayam tadi (agak-agak minyak dengan bahan yang hendak dibuat sambalnya).
3. Masukkan cili mesin/cili boh sehingga pecah minyak.
4. Kemudian masukkan ketumbar dan jintan manis yang telah dimesin. Jika nampak pekat tuangkan sedikit air (Gunakan api yang sederhana).
5. Masukkan asam keping, sedikit garam dan sedikit gula. Kemudian masukkan ayam yang telah digoreng tadi dan gaulkan.

HARI KESEMBILAN : PAJERI NENAS

Bahan-bahan:
– rempah tumis (kulit kayu manis,bunga lawang, pelaga)
– sedikit serbuk kunyit
– 4 biji bawang merah
– 2 biji bawang putih dihiris memanjang
– biji sawi
– gula sikit
– garam secukup rasa
– lada merah/hijau dibelah memanjang (jangan sampai putus)
– nenas dipotong bulat dan 4, rebuskan dan ditoskan air

Cara memasak:
1. Tumiskan rempah tumis tadi masukkan bawang merah dan putih, bila naik bau masukkan serbuk kunyit.
2. Kemudian masuk nenas yang dah siap tos tu, letak gula sikit dan garam secukup rasa.
3. Lepas tu masukkan lada dan biji sawi (masa masuk lada ni tak perlu sampai lunyai pulak, sekadar golek-golekkan dalam kuali tu sikit-sikit).

HARI KESEPULUH : MEE REBUS

Bahan-bahan:
– 1 paket mee kuning – celur

Bahan sayuran:
– taugeh – celur
– sedikit daun sup – hiris nipis
– sedikit daun bawang – hiris nipis
– bawang goreng
– 4 keping tahu di goreng dan dihiris nipis.
– 5 biji cili hijau – dihiris nipis
– limau nipis/limau kasturi – di belah dua
– telur rebus – belah dua

Bahan-bahan kuah:
– sedikit minyak untuk menumis
– 4 sudu cili kering yang di kisar
– 3 biji bawang merah – kisar
– 3 sudu lengkuas yang di kisar
– 4 batang serai dikisar halus
– 2 biji bawang putih – kisar
– RM 3 udang kering – kisar – lagi banyak lagi sedap.
– 300gm udang hidup – direbus dan kisar halus
– 1 kg ubi keledek merah – direbus dan blender halus
– 3 sudu gula atau secukup rasa
– garam secukup rasa
– sedikit ajinomoto
– 4 sudu sos tomato
– air – agak-agaklah

Cara memasak:
1. Tumiskan bawang merah, bawang putih, lengkuas, serai, cili kering dan udang kering yang telah di kisar hingga naik minyak dan berbau wangi.
2. Masukkan udang hidup yang dikisar dan air rebusannya sekali.
3. Masukkan keledek yang telah dikisar dan tambahkan air secukupnya. bubuh garam, gula, aji,sos tomato.
4. Biarkan mendidih dan siap untuk di hidang dan dimakan.

HARI KESEBELAS : GULAI TEMPOYAK IKAN KEMBUNG

Bahan-bahan:
– 1 kg ikan kembung (dipotong dua)
– 1 ikat taugeh kasar
– 1 cawan tempoyak
– 1 batang serai 10 biji cili padi
– serbuk kunyit
– garam

Cara memasak:
1. Masukkan ikan yang telah dicuci ke dalam periuk bersama cili padi yang telah dikisar dan serai yang telah dititik.
2. Tempoyak dibancuh dengan sedikit air supaya tidak terlalu pekat.
3. Masukkan serbuk kunyit dan garam
4. Apabila mendidih, masukkan taugeh. Sedia untuk dihidang.

HARI KEDUA BELAS :KARI KEPALA IKAN

Bahan-bahan:
– 1 kg kepala ikan
– 50 gm bawang merah
– 30 gm halia (dikisar)
– 30 gm bawang putih (dikisar)
– 50 gm cili kering (dikisar)
– 50 gm ketumbar
– 40 gm serbuk jintan putih 30 gm serbuk kaskas
– 10 gm serbuk lada putih
– 40 gm serbuk kunyit
– 1 liter santan kelapa
– 20 gm garam
– 10 biji kacang bendi
– 6 biji terung

Cara memasak:
1. Tumiskan bawang, halia dan cili kering. Masukkan pula rempah yang telah dicampurkan dengan sedikit air asam jawa.
2. Kacau sehingga terbit minyak. Selepas itu masukkan santan, kacau hingga sebati.
3. Masukkan pula terung dan bendi, tunggu hingga separuh masak.
4. Setelah hampir masak, masukkan pula garam dan serbuk perasa secukup rasa.

HARI KE 13 : ASAM PEDAS TUMIS MELAKA

Bahan-bahan:
– ikan serkut/tenggiri/siakap/kembung/pari/sembilang/keli tapi masak asam ni kalau melaka(sebelah merlimau)suka ikan parang rasanya lebih sedap.
– 7/8 ulas bawang merah
– 2 ulas bawang putih
– sebesar ibu jari kaki belacan
– kunyit hidup sebesar ibu jari tangan (boleh juga gunakan kunyit serbuk)
– air asam jawa
– cili yang telah diblender(dapat yang digiling lebih sedap)
– 2 sudu besar kerisik(kelapa goreng)
– sedikit halba
– sedikit halia (sebesar separuh ibu jari)- agak-agak kuah dan ikan banyak mana.
– garam secukup rasa
– perasa ajinomoto jika suka.

Cara memasak:
1. Kunyit hidup dan bawang putih ditumbuk lumat.
2. Kemudian masukkan bawang merah dan tumbuk separuh lumat. Masukkan belacan yang telah ditumbuk.
3. Panaskan periuk dan minyak untuk menumis.
4. Setelah minyak panas masukkan halba (lebih kurang 4/5 biji) tak boleh banyak nanti pahit. Halba untuk naik bau wanginya.
5. Masukkan bawang merah,putih,belacan,kunyit,yang telah ditumbuk tadi dan kacau.
6. Masukkan cili yang telah diblender(7/8 sudu besar-tengoklah pekat ke cair cili mesin tu) kacau sebati dan masukkan kerisik.
7. Tumiskan dengan api sederhana sehingga garing (macam buat sambal) atau cili berubah warna sedikit merah hitam.
8. Setelah garing masukkan air asam jawa. Tambah air biasa tengoklah nak kuahnya banyak mana /sesuai dengan ikan.
9. Kacau biar bahan tumis tadi sebati dengan kuah.
10. Masukkan ikan. Kemudian masukkan halia yang telah ditumbuk sedikit(usah ditumbuk lumat) atau dihiris halus.
11. Didihkan kuah dan masukkan garam serta perasa.

Tips :
Masak asam sebenarnya rasa asam (masam kuahnya) dengan pedasnya mestilah seimbang. Ikannya mesti segar. Gunalah ikan parang next time guna ikan lain…rasa bezanya anda akan tahu. Tumisan lada dan bawangnya mesti garing (jangan sampai hangit) jika tak, ianya tak sedap.

HARI KE 14 : AYAM MASAK LEMAK CILI API

Bahan-bahan:
– 1 ekor ayam (ayam kampung/ayam daging biasa (ayam bandar))
– 30 ulas cili api/padi (ikut suka – kalau tak tahan pedas boleh kurangkan sikit)
– 1 inci kunyit hidup
– 2-3 batang serai (dititik)
– santan (dari sebiji kelapa)
– 2-3 ulas bawang putih & merah (untuk ayam bandar saja – hilangkan bau hanyir)

Cara memasak:
1. Tumbuk cili api + kunyit hidup + bawang putih & merah ditumbuk selumat-lumatnya.
2. Bahan (1) tadi digaulkan dengan ayam di dalam kuali beserta serai yang dititik
3. Kecutkan ayam dengan bahan-bahan tadi supaya mesra hingga kering airnya
4. Masukkan santan dan kacau supaya tidak terbit minyak
5. Perisakan dengan garam (serbuk perasa tak perlu..nanti tak pure)
6. Tunggu hingga kuah menggelegak dan lepas tu bolehlah ditutup apinya.

Nota:
Kalau suka kentang, boleh masukkan selepas masukkan santan kedalam kuali dan kecilkan api supaya ia cepat empuk.

HARI KE 15 : SAMBAL SOTONG SUMBAT TELUR

Bahan-bahan:

Inti sumbat:
– 2 biji telur ayam
– carrot (dicincang)
– sosej (dicincang)
– secubit garam
– minyak untuk menggoreng
– 1 sudu besar mayonis

Cara-cara buat inti sumbat:
– campurkan semua bahan dan goreng hancur

Sambal sotong:
– 3 ekor sotong
– 2 ulas bawang merah, 2 ulas bawang putih (ditumbuk / dihiris)
– 3 sudu besar cili kisar
– 1 sudu rempah kari
– 1 biji bawang merah (dipotong bulat-bulat)
– 2 sudu sos cili
– minyak untuk menumis
– 3 batang pencongkel gigi/lidi
– sedikit air asam jawa
– garam & gula secukup rasa

Cara memasak:
1. Sotong tadi disumbat dengan telur yang telah dimasak dan ditutup semula dengan kepala sotong dan dicucuk dengan pencongkel gigi / lidi
2. Kemudian tumiskan bawang yang telah ditumbuk tadi sehingga naik bau
3. Masukan cili kisar dan biarkan sehingga pecah minyak
4. Masukan serbuk kari dan sos cili
5. Kemudian masukan sotong yang telah disumbat dengan telur dan biar sampai mendidih
6. Masukan gula, garam dan air asam jawa sesedap rasa
7. Masukan bawang besar yang telah dipotong bulat-bulat
8. Bila dah masak boleh la hidangkan.

HARI KE 16 : GULAI IKAN KERING UTARA

Bahan-bahan:
– 1 paket serbuk kari ikan / ikan kering
– 1 biji nenas
– isi / tulang ikan talang kering
– santan
– garam
– bawang merah
– daun kari
– minyak untuk menumis

Cara memasak :
1. Ikan talang direndam.
2. Rebus nenas yang telah dipotong bersama-sama dengan serbuk kari sehingga hampir kering dengan api sederhana. Kemudian masukkan santan dan ikan talang tadi biarkan mendidih.
3. Ketepikan. Garam bubuh kemudian sebab gulai tersebut mungkin telah masin dari isi ikan talang tersebut.(rasa dulu)
4. Bawang merah dimayang kemudian ditumis di dalam kuali bersama-sama dengan daun kari.
5. Setelah garing masukkan bawang bersama-sama minyak tadi ke dalam gulai ikan tadi.
6. Kacau sebentar kemudian tutup periuk tadi.
7. Siap dan boleh dimakan.

HARI KE 17 : DAGING MASAK MERAH

Bahan-bahan:
– 500 gram daging – direbus bersama pewarna merah hingga empuk beberapa titik pewarna merah
– 3 biji cili hijau – dihiris
– 2 biji cili merah- dihiris
– 1 biji bawang bombay – dihiris
– 3 biji bawang putih – dititik
– sos tiram
– sos tomato
– secubit garam
– 2 biji tomato – dibelah 4

Cara memasak:
1. Toskan daging yang telah direbus tadi dan potong nipis ikut suka.
2. Panaskan sedikit minyak dan tumiskan bahan-bahan hiris bersama bawang putih yang dititik. Kacau hingga agak layu.
3. Tambahkan sos tiram dan sos tomato. Tiada sukatan sebab saya pakai masuk saja. Kacau lagi.
4. Masukkan daging bersama tomato dan gaul sebati.
5. Biar seketika di atas api, bolehlah dihidangkan.

HARI KE 18 : SUP AYAM ORGANIK

Bahan-bahan:
– 1/2 ekor ayam organik bahagian dada – dipotong ikut suka
– 3 biji bawang besar kisar
– 1 inci halia kisar
– 1/2 inci lengkuas kisar – ikut suka
– 2 batang serai dititik – ikut suka
– 5 biji bawang merah – dimayang halus
– sedikit ketumbar *
– sedikit jintan halus *
– sedikit jintan kasar * – kesemua tanda ni * dibasuh, ditos, disangai dan dikisar
– rempah tumis 4 sekawan
– 1 batang lobak merah – dikerat-kerat
– 2 biji tomato – dipotong 4
– 2 biji kentang – dipotong 4
– hirisan daun sup
– sedikit bawang goreng

Cara memasak:
1. Campurkan bahan-bahan kisar dengan ketumbar, jintan kasar dan jintan halus ketepikan.
2. Panaskan minyak dan tumiskan bawang merah dan rempah tumis hingga layu dan naik bau.
3. Masukkan campuran bahan-bahan kisar diikuti dengan serai dan kacau sebati.
4. Masukkan ayam bila bahan-bahan kisar tadi telah naik bau. Kacau dan tambahkan air.
5. Bila ayam empuk dan kuah mulai menggelegak masukkan pula kentang dan lobak merah.
6. Biar hingga kentang dan lobak merah empuk baru tambahkan garam dan perasa secukupnya.
7. Akhir sekali masukkan potongan tomato tadi. Tutup api dan hidangkan dengan bawang goreng dan daun sup.

HARI KE 19 : KETAM MASAK CILI API DENGAN DAUN PEGAGA

Bahan-bahan:
– 2 ekor ketam (dalam 1kg)
– 1 kotak santan 200ml
– 1 cawan air
– 1 keping asam gelugor
– 2 batang serai, dititik
– garam dan sedikit gula
– daun pegaga

Bahan kisar:
– 2 biji bawang besar
– 3 ulas bawang putih
– 3 biji cili merah
– 1 inci kunyit hidup
– 1/2 inci belacan
* kalau nak pedas boleh tambah cili padi

Cara memasak:
1. Basuh ketam sampai bersih.
2. Panaskan periuk dan masukkan bahan-bahan kisar tu semua. Tunggu sampai mendidih.
3. Tuang santan dan air. Kemudian masukkan ketam. Kacau sikit.
4. Masukkan gula dan garam secukup rasa.
5. Bila ketam dah mula berwarna oren dan santan pun dah mendidih, masukkan daun pegaga dan tutup api.

HARI KE 20 : SIAKAP STIM LIMAU ALA THAI

Bahan-bahan:
– 1 ekor ikan siakap sederhana besar
– 4 ulas bawang putih
– 1 biji bawang holland
– 1 kiub pati ayam
– 5 biji cili padi
– 2 inci halia
– 2 batang serai
– 3 sudu sos ikan
– 1 cawan jus limau nipis
– 1 sudu gula
– sedikit daun ketumbar + cili merah + hirisan limau untuk hiasan

Cara memasak :
1. Bersihkan ikan dan kelar ikan supaya sos meresap..
2. Sapukan ikan dengan kiub pati ayam yang dicampur sedikit jus limau + air
3. Masukkan serai yang telah diketuk ke dalam perut ikan
4. Masukkan ikan ke dalam pengukus
5. Campurkan sos ikan + gula + jus limau nipis dan tuangkan ke atas ikan
6. Cincang halus bawang putih + cili api + halia dan taburkan ke atas ikan
7. Akhir sekali masukkan bawang holland yang dipotong halus. Kukus sehingga ikan masak
dengan daun ketumbar + limau + cili merah

HARI KE 21 : TOM YAM THAI

Bahan-bahan:
– 1 paket perencah tomyam
– 4 biji tomato
– 5-6 biji cili padi – ikut selera masing-masing
– 3 batang serai – diketuk
– 4 helai daun limau purut
– 1 batang lobak merah, sedikit cendawan
– 2 ulas bawang merah
– 2 biji bawang besar
– 1 cm lengkuas
– lauk – ayam/sotong/daging/ketam/udang
– 2 sudu besar sos tiram – optional
– 2 sudu besar sos cili dan sos tomato

Cara memasak:
1. Kisar (2 ulas bawang merah + 1 batang serai + 1 1/2 biji tomato + 3 biji cili padi).
2. Masukkan bahan kisar tadi dalam kuali dan 1 paket perencah tomyam. Tumiskan dan masukkan air secukupnya.
3. Masukkan pula lobak merah.
4. Setelah lobak merah empuk masukkan lebihan cili padi, serai yang telah diketuk, lengkuas yang dihiris, bawang besar, gula, garam. Kalau nak lagi sedap boleh tambah 2 sudu sos tiram, 2 sudu sos cili dan 2 sudu besar sos tomato.
5. Bila dah mendidih boleh masukkan isi ayam, udang, sotong dan sebagainya.
6. Kemudian masukkan tomato,cendawan dan daun limau purut.
7. Siap untuk dihidang

HARI KE 22 : AYAM GORENG SOS PLUM

Bahan-bahan:
– dada ayam – dipotong kecil
– sedikit lada putih,
– garam dan tepung jagung
– 3 biji kentang – potong dan goreng kejap

Bahan A:
– 5 ulas bawang merah – dikisar
– 3 ulas bawang putih – dikisar
– 1 inci halia – dikisar
– 3 biji cili merah – dikisar

Bahan B:
– 3 sudu besar sos plum – guna brand life
– 2 sudu besar sos cili thai
– 1 sudu besar sos tiram
– garam dan gula secukup rasa
– sedikit kiub ayam

Cara memasak:
1. Gaulkan dada ayam bersama serbuk lada putih dan garam.
2. Kemudian salutkan dengan tepung jagung dan goreng sekejap. Tak payah terlalu garing.
3. Panaskan minyak dan tumis bahan A hingga wangi dan sedikit garing.
4. Masukkan bahan B dan goreng lagi hingga pecah minyak.
5. Masukkan sedikit air (agak-agak ye nak kuah banyak mana), garam dan gula secukup rasa dan sedikit kiub ayam.
6. Sebatikan dan masukkan ayam dan kentang yang digoreng tadi, sebatikan dan biarkan sebentar.
7. Masukkan hirisan daun bawang, kacau kejap dan terus angkat.

HARI KE 23 : GULAI ASAM PEDAS IKAN BAWAL, AYAM GORENG, SAYUR KOBIS DAN KAROT GORENG

RESEPI ASAM PEDAS

Bahan-bahan:
– 2 ekor ikan bawal – potong 6 keping
– 1 sudu kecil pes asam jawa – jangan terlalu banyak, terlebih masam tak sedap
– garam
– 5 sudu cili kering kisar – boleh tambah
– 6 batang bendi
– 1 biji tomato belah 4
– 6 helai daun limau purut
– 2 serai dititik

Bahan kisar:
– 8-9 ulas bawang merah
– 5 ulas bawang putih
– 2 inci kunyit hidup
– 2 inci halia
– 1 biji tomato

Cara memasak:
1. Kisar semua bahan di atas.
2. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar, serai dan cili kisar sehingga wangi dan cili benar benar garing dan masak. Masukkan air secukupnya.
3. Bila kuah mendidih, masukkan ikan. Masukkan garam dan air asam secukupnya.
4. Masukkan sayur bendi tomato dan daun limau purut. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat.

RESEPI AYAM GORENG SIMPLE

Bahan-bahan:
– 6 ketul ayam
– garam
– kunyit

Cara memasak:
1. Gaulkan ayam dengan kunyit dan garam.
2. Panaskan minyak, gorengkan ayam sehingga garing, tos dan angkat.

RESEPI SAYUR GORENG

Bahan-bahan:
– kobis yang dihiris nipis
– 1/2 batang karot yang dihiris nipis
– 1 batang cili merah dihiris nipis
– sedikit udang kering
– 1 biji bawang merah dihiris
– 1 biji bawang putih dihiris

Cara memasak:
1. Panaskan sedikit minyak. tumis bawang merah, putih dan udang kering sehingga naik bau.
2. Masukkan kobis dan karot. tunggu sehingga sayur masak.
3. Perasakan garam dan angkat.

HARI KE 24 : KARI DAGING, SAMBAL TELUR HANCUR, SAYUR TAUGEH KUCAI GORENG

RESEPI KARI DAGING

– 800gm daging – potong nipis & kecil. Senang dan cepat nak empuk.
– 3 – 4 ulas bawang merah – dihiris halus
– 2 ulas bawang putih – dihiris halus
– halia – 1 inci – dihiris halus
– 1 batang kayu manis
– 1 biji cengkih
– 2 biji bunga lawang
– 3 sudu besar rempah kari – dibancuh dengan sedikit air menjadi pes
– 1 kotak santan segera – terpulang pada citarasa kepekatan kuah kari uolss.
– 2 – 3 biji kentang – potong ikut selera nak belah berapa. Jangan besar sangat lak
– garam secukup rasa
– sedikit air – ikut citarasa nak kuah pekat & banyak mana
– daun kari beberapa helai

Cara memasak:
1. Bersihkan daging dan hiris daging menjadi kepingan kecil dan nipis. Rebus daging tersebut sehingga empuk. Nak cepat boleh guna pressure cooker. Dah empuk asingkan. Air rebusan daging jangan buang ye. Nanti nak masukkan dalam kuah kari tu semula.
2. Panaskan minyak dan tumis kayu manis, bunga lawang, cengkih sampai naik bau dan kemudian masukkan bawang merah, bawang putih dan halia yang telah dihiris. Tumis sehingga layu dan naik bau.
3. Selepas itu, masukkan pes kari (serbuk kari yang dah dibancuh dengan sedikit air) bersama daun kari. Tumis hingga berbau wangi dan terbit pecah minyak.
4. Masukkan daging yang dah direbus tadi bersama air. Masak hingga mendidih. Kuantiti air terpulang pada citarasa masing-masing. Biarkan mendidih sebentar. saya suka kuah kari yang pekat so airnya sikit. Kuah pekat sedap buat cecah sama roti.
5. Masukkan kentang yang telah dipotong tadi, masak hingga kentang hampir empuk.
6. Kemudian masukkan santan. Kuantiti santan juga terpulang pada citarasa masing-masing.
7. Akhir sekali masukkan garam secukup rasa. Tutup api dan sedia dihidangkan.

RESEPI SAMBAL TELUR HANCUR
– 3 biji telur
– 2 ulas bawang putih – kisar
– segenggam cili kering – kisar
– 1 labu bawang besar – kisar
– garam

Cara memasak:
1. Panaskan minyak, masukkan bahan kisar hinga pecah minyak.
2. Perasakan dengan garam.
3. Pecahkan telur dan biar sebentar jangan kacau. Bila telur dah masak bawah tu boleh pusing.
4. Dah sebati semua boleh angkat dan hidang.

HARI KE 25 : AYAM MASAK CILI KERING, IKAN KERISI GORENG, SAMBAL BELACAN, SUP SAYUR BAYAM MERAH

RESEPI AYAM MASAK CILI KERING

Bahan-bahan:
– 4 keping dada ayam potong kecil
– 1 sudu kecil tepung jagung
– 2 sudu besar sos tiram

*Perap semua bahan ni selama 15 minit kemudian goreng. Tak perlu garing

Bahan sos:
– 1/4 stok ayam
– 1 sudu kicap manis
– 2 sudu sos cili
– 1 sidi gula
– 1 sudu kecil garam
– 1/2 sudu kecil tepung jagung (dibancuh dengan sedikit air)

Bahan tumis:
– 8 tangkai cili kering – potong
– 2 biji bawang putih – dadukan
– 2 cm halia – hiris

Bahan lain:
– cili hidup – potong dadu
– bawang besar – potong dadu

Cara memasak:
1. Panaskan minyak, boleh campur minyak bijan jika suka. Masukkan bawang putih dan halia. Tumis hingga naik bau
2. Masukkan cili kering. Goreng sehingga cili agak garing.. Hati-hati jangan sampai hangus
3. Masukkan stok ayam dan bahan sos
4. Masukkan bancuhan tepung jagung. Kacau sebati hingga kuah memekat
5. Masukkan ayam, bawang dan cili hidup
6. Bila semua dah sebati boleh tutup api dan hidangkan

HARI KE 26 : TOM YAM AYAM, TELUR DADAR DAN SAMBAL BELACAN

RESEPI TOMYAM AYAM

Bahan A:
– 6 biji bawang putih dititik
– 1 biji tomato dipotong dadu halus2
– 2 batang serai dititik
– 5 inci lengkuas diketuk

Bahan B:
– 1/4 ekor ayam – potong kecil2
– 1 biji bawang holland– hiris
– 2 sudu perencah tomyam – brand TAEPEE
– pelbagai sayuran – saya guna carrot & caulifower
– 4 helai daun limau purut – buang urat daun tengah tu, supaya bau kuat
– cili padi dalam 6 – 8 biji)
– sos ikan
– air perahan limau
– 1 biji tomato
– garam

Cara memasak :
1. Tumis bahan A sehingga garing. Lepas tu masukkan perencah tomyam. Gaul sehingga sebati.
2. Masukkan air ke dalam periuk, lepas tu masukkan pula ayam.
3. Bila ayam dah mula nak masak, masukkan bawang besar, sayur,, lengkuas, serai, daun limau purut dan biarkan seketika
4. Akhir sekali, perah limau kasturi dan ambil airnya.
5. Masukkan sos ikan dan air perahan limau. Lepas tu perasakan dengan garam. Siap untuk dimakan.

HARI KE 27 : SUP IKAN MERAH, SAMBAL TUMIS UDANG DAN SAYUR KOBIS KAROT

RESEPI SUP IKAN MERAH

Bahan bahan:
– ikan merah
– 4 ulas bawang merah
– 2 ulas bawang putih
– sedikit halia
– kayu manis, bunga lawang dan pelaga
– lada hitam biji – tumbuk
– tomato belah 4

Cara memasak:
1. Tumis bawang merah dan bawang putih serta halia yang dihiris bersama kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga sehingga wangi.
2. Kemudian masukkan air secukupnya. Biarkan air menggelegak sebelum dimasukkan ikan. masukkan tomato.
3. Akhirnya masukkan lada hitam dan garam secukupnya.. tabur daun sup dan daun bawang.

RESEPI SAMBAL TUMIS UDANG

Bahan bahan:
– 1 kg udang – gunting separuh dari kepala
– 2 sudu besar asam jawa campur air & jadikan jus – guna 1 sudu kecil pes asam jawa
– 1 – 2 sudu kecil garam halus
– 6 – 7 sudu besar gula – guna 7

Bahan kisar:
– 100 gm cili kering – pilih jenis pedas
– sebesar 50 sen belacan – kisar dengan cili – tak guna
– 10 – 15 biji bawang merah
– 5 ulas bawang putih

Cara memasak:
1. Udang digaul dengan sedikit garam kemudian digoreng hingga merah, jangan goreng lama nanti udang kecut dan keras.
2. Bila dah merah angkat. Ketepikan.

HARI KE 28 : NASI ARAB TANAM AYAM, SOS NASI ARAB, KERUTUK DAGING, SAYUR BROKOLI DAN KOBIS BUNGA

RESEPI NASI ARAB TANAM AYAM
Ini saya gunakan pes nasi arab. Boleh dapatkan di pasaraya. Mudah sahaja caranya. Hanya perlu pes, nasi, dan masukkan ayam yg telah direbus dan tanak.

Resepi sos nasi arab
– 1 biji bawang besar,
– 4 biji cili merah
– gula garam
– perahan lemon

* bahan-bahan diatas semuanya dikisar

Resepi kerutuk daging
– 1 kg daging batang pinang (potong tebal 1 atau 2″)
– 3 sb rempah kerutuk
– 8 ulas bawang merah
– 4 ulas bawang putih
– 1 inci halia
– kayu manis, bunga lawang, pelaga
– 1 kotak santan – bancuh dengan air secukupnya.
– 3 sb kerisik
– garam
– gula
– gula Melaka
– 1 keping asam keping
– tomato ketchup – boleh menyedapkan lagi

Cara memasak:
1. Separuh dari bawang dan halia dikisar dan dicampur dengan rempah kerutuk. Separuh lagi dihiris.
2. Tumis bawang dan halia yang dihiris serta rempah penumis sehingga wangi dan masukkan rempah kerutuk. Masak dengan api perlahan sehingga keluar minyak.
3. Masukkan daging dan sedikit air dan dikacau rata. Masak lagi sehingga air kering dan keluar minyak serta daging empuk.
4. Masukkan santan dan masak sehingga mendidih dengan api perlahan. Masukkan kerisik, garam, gula, gula Melaka dan asam keping. Masukkan juga pes tomato, jika ada.
5. Sesuaikan kepekatan dan rasa. Bolehlah diangkat dan dihidangkan

HARI KE 29 :UDANG MASAK MASAM MANIS

Bahan-bahan:
– 500 gm udang besar (bersihkan)
– 1 s/b kunyit
– 1 s/k garam
– minyak

Bahan sos:
– 5 ulas bawang merah (dimayang)
– 3 ulas bawang putih (dimayang)
– 1/2 cawan sos tomato
– 3 sudu besar sos cili
– 2 biji cili merah (dipotong nipis)
– 1/2 cawan air.
– 1 biji tomato (belah 6)
– 1 pokok daun bawang & daun sup (potong pendek)
– garam dan gula secukup rasa

Cara memasak:
1. Gaulkan udang dengan kunyit dan garam dan gorengkan sehingga masak. Angkat dan ketepikan.
2. Asingkan sedikit minyak dan panaskan minyak semula dan tumiskan bawang merah dan bawang putih.
3. Apabila sudah wangi masukkan sos tomato, sos cili dan air. Masukkan juga cili potong dan gula.
4. Setelah kuat pekat, masukkan udang dan gaulkan rata.
5. Hiaskan dengan daun sup dan daun bawang. Hidangkan bersama nasi putih.

HARI KE 30 : IKAN KEMBUNG PINDANG

menu sahur dan berbuka

Bahan-bahan:
– 4 ekor ikan kembong/ikan kerisi/ikan selayang
– 1 in kunyit hidup – blend
– 2 batang serai – diketuk
– 5 biji bawang merah – blend
– 1 biji bawang besar – blend
– 1 biji bawang putih- blend
– sedikit halia – diblend
– cili api – nak blend sekali pun boleh, nak letak sebiji je pun boleh
– pati asam jawa
– garam dan gula secukup rasa
– 2 cawan air
.
Cara memasak:
1. Masukkan bahan2 yg diblend bersama 2 cawan air, serai, asam jawa dan perasakan dengan garam gula biar kan mendidih.
2. Masukkan bendi hingga lembut kemudian masukkan ikan.
3. Akhir sekali letaklah tomato.

So di kesempatan ini saya memohon maaf jika ada silap dan salah sepanjang saya menulis blog, dan jangan simpan dalam hati. Ku berharapkan Ramadhan kali ini penuh makna, agar dapat kulalui dengan sempurna. Hahaha ini lirik lagu Ramadhan daaa hahahaha.

7 thoughts on “Menu berbuka puasa dan bersahur untuk 30 hari”

  1. Assalamualaikum & salam ramadhan dari ibu. Semoga amalan ibadat kita di terima Allah swt. Amin.

    Ibu singgah blogwaking blog sis aju. Samalh dengan Ibu. Mohon maaf atas silap yang pasti ada semasa berinteraksi.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: